SK Padang Midin dilanda banjir kilat

Gambar kiri: Longkang dan koridor menuju ke kantin sekolah dipenuhi air. Gambar kanan: Gambar yang disebarkan menunjukkan keadaan kawasan kantin SK Padang Midin yang dinaiki air akibat banjir kilat, pagi tadi.
Gambar kiri: Longkang dan koridor menuju ke kantin sekolah dipenuhi air. Gambar kanan: Gambar yang disebarkan menunjukkan keadaan kawasan kantin SK Padang Midin yang dinaiki air akibat banjir kilat, pagi tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat yang berlarutan sejak awal pagi hari ini menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Midin, disini, dilanda banjir kilat.

Guru Besarnya, Mustafa Mohd Salleh berkata, keadaan itu berlaku dalam tempoh satu jam antara jam 7 hingga 8 pagi.

Bagaimanapun, katanya, situasi itu tidak menjejaskan sesi pembelajaran kerana air bertakung hanya melibatkan kawasan pintu masuk sekolah dan kantin.

"Hujan lebat bermula jam 5 pagi. Air mula bertakung di dua kawasan ini kira-kira jam 7 pagi.

"Keadaan pada mulanya agak kelam kabut kerana waktu tu ibu bapa sedang menghantar anak-anak ke sekolah.

"Bagaimanapun, situasi terkawal kerana ibu bapa dapat membawa anak-anak mereka ke kelas masing-masing dengan tenang," katanya.

Mengulas mengenai banjir kilat yang sering melanda SK Padang Midin, beliau percaya ia disebabkan kedudukan sekolah di kawasan yang agak rendah.

"Selain itu, ia juga disebabkan sistem perparitan yang tidak mampu menampung air dalam jumlah yang banyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Mustafa berkata, masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan sekolah itu kini dalam tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

"Pagi tadi, pihak JPNT, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga datang lihat keadaan sekolah.

"Masalah ini akan cuba diatasi dengan sebaiknya," katanya.