Dr Mahathir selar AS iktiraf penempatan haram Israel

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar keputusan terkini Amerika Syarikat (AS) ke atas status penempatan Israel di dalam wilayah Palestin yang disifatkan tidak masuk akal kerana seolah-olah mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran.

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang mengumumkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram menggambarkan negara kuasa besar itu secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa atau resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita tidak lagi selamat. Jika sesebuah negara mahu masuk ke negara kita dan membina penempatan, kini ia adalah sah dan dihalalkan. Kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah yang dibuat oleh pentadbiran Trump itu mencetuskan kemarahan pada peringkat antarabangsa kerana bertentangan dengan keputusan pentadbiran AS pada 1978 yang mengisytiharkan penempatan tersebut sebagai haram dan tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut melahirkan perasaan bimbang kerana pengumuman terbabit akan menggalakkan lagi kekejaman tentera Israel yang ketika ini ghairah melakukan pembunuhan dan serangan ganas ke atas Gaza yang mana laporan menyatakan ramai kanak-kanak terkorban.

“Anda mengumumkan bahawa penempatan haram mereka adalah sah semasa mereka sedang melakukan keganasan di Gaza... tidakkah ini akan menggalakkan mereka untuk membunuh kanak-kanak dan orang awam, malah mereka tidak akan dihukum?

“Sebaliknya mereka diberi ganjaran untuk membina penempatan di tanah penduduk yang mati dibunuh mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan: