Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

Seorang pengguna memberi penilaian tahap kebersihan tandas selepas menggunakan tandas awam di Balai Ketibaan, KLIA hari ini. - Foto Bernama
Seorang pengguna memberi penilaian tahap kebersihan tandas selepas menggunakan tandas awam di Balai Ketibaan, KLIA hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Aduan berkaitan kebersihan tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkurangan sebanyak 80 peratus sejak proses membaik pulih dan menaik taraf kemudahan itu dilaksanakan dua tahun lepas, kata Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukri Mohd Salleh.

Beliau berkata, sebanyak 384 tandas di terminal KLIA dan klia2 telah dinaik taraf ekoran banyak aduan dibangkitkan pengguna yang sebahagian besarnya adalah kaum wanita.

Mohd Shukri berkata, proses menaik taraf tandas itu turut mengambil kira keperluan yang dibangkitkan pengguna dan antara perubahan yang dilakukan ialah berkenaan pengudaraan dan kelengkapan sanitasi.

Beliau berkata, proses menaik taraf kemudahan tersebut di pantau rapat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang menetapkan 20 elemen yang perlu dipatuhi termasuk lapan berkaitan kebersihan.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh ditemubual pemberita selepas majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia oleh Malaysia Airports di KLIA hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh ditemubual pemberita selepas majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia oleh Malaysia Airports di KLIA hari ini. - Foto Bernama

"Alhamdulillah, skor kita meningkat setiap bulan, dan pada Ogos lepas kita mencapai skor 90 peratus, sekaligus memenuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan Mavcom," katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan Hari Tandas Sedunia oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin dalam ucapannya berkata, Hari Tandas Sedunia adalah satu inisiatif untuk memaklumkan, melibatkan diri, dan yang paling penting memberi inspirasi kepada rakyat untuk mengambil tindakan dalam menangani krisis sanitasi global.

Memetik laporan Air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau berkata, 4.2 bilion populasi dunia hidup tanpa sanitasi yang selamat dan terdapat kira-kira 673 juta orang yang masih bergantung pada pembuangan air terbuka sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bahagian paling menakutkan adalah di mana 432,000 kematian dicatatkan setiap tahun daripada kekurangan sanitasi yang mencukupi.

"Malaysia bernasib baik diberkati dengan banyak infrastruktur kelas pertama seperti di lapangan terbang utama negara - Lapangan Terbang Antarabangsa KL namun masih banyak yang diperlukan dari segi mencapai mentaliti kelas pertama di kalangan rakyat Malaysia," katanya. - Bernama