ECRL di Pahang libat pengambilan tanah 978.771 hektar

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Pembinaan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Pahang membabitkan pengambilan tanah seluas 978.771 hektar, setakat 30 Oktober lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu membabitkan pengambilan tanah kerajaan negeri seluas 379.184 hektar, tanah milik (persendirian) sebanyak 542.58 hektar, rizab hutan sebanyak 44.074 hektar dan tanah Persekutuan sebanyak 12.929 hektar.

"Pengambilan tanah seluas itu (978.771 hektar) apabila kerajaan negeri bersetuju meneruskan semula pengambilan tanah bagi Projek ECRL yang ditangguhkan sejak 3 Julai lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd Sofian Abd Jalil pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sebelum itu, Mohd Sofian bertanyakan mengenai status tanah di negeri ini bagi menjayakan Projek ECRL.

Media sebelum ini melaporkan, Projek ECRL bernilai RM44 bilion dilancarkan semula pada Julai lalu selepas ditangguhkan oleh kerajaan Persekutuan tahun lalu.

Projek ECRL yang baharu dilancarkan itu kini merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer dengan 417 kilometer atau 65.2 peratus daripadanya mengalami perubahan jajaran.

Artikel Berkaitan: