Rogol anak, lelaki diarah bela diri

Seorang bapa diarah untuk membela diri atas pertuduhan merogol anak perempuannya berusia 13 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Seorang bapa diarah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuannya berusia 13 tahun, lima tahun lalu.

Hakim, Datuk Julie Lack Abdullah mengarahkan lelaki berusia 39 tahun itu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan pada 11 Januari lalu dan perbicaraan berlangsung pada 24 dan 25 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan S Teeban.

Tertuduh memilih membela diri dengan memberi keterangan bersumpah di kandang saksi dan pihak pembelaan dijangka akan mengemukakan empat saksi termasuk tertuduh untuk perbicaraan.

Julie Lack kemudiannya menetapkan 20 dan 21 Januari ini bagi pembelaan kes berkenaan.

Sinar Harian melaporkan mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dijadikan pemuas nafsu kepada bapa dan datuknya berusia 63 tahun sejak berusia lapan tahun.

Kegiatan sumbang mahram itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia 31 tahun selepas dipercayai tidak mampu lagi menanggung tekanan sejak diperlakukan sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkara bapa, datuk durjana