Pemimpin PH senada dengan Dr Mahathir

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif turut senada dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui bahawa kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sememangnya sudah dijangka.

“Ya, saya bersetuju dengan apa yang dikatakan Dr Mahathir selaku Pengerusi PH.

“Saya juga menjangkakan PH akan tewas dengan majoriti 3,000 undi pada PRK tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, Rais Hussin berkata, wajar dilaksanakan post-mortem di semua peringkat parti yang akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kekalahan pada PRK kali ini.

“Bagaimanapun, post-mortem perlu dibuat secara bebas dan tanpa berat sebelah,” katanya.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, jangkaan kemenangan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memang tidak dapat dinafikan memandangkan beliau pernah berada di kerusi Tanjung Piai selama dua penggal sebelum ini.

“Bagaimanapun, keputusan sudah diberikan oleh pengundi di Tanjung Piai dan PH harus menerima dengan hati dan mata terbuka.

“Ini peluang terbaik untuk seluruh pimpinan PH sehingga ke akar umbi bermuhasabah memikirkan apakah yang dimaknakan dengan keputusan PRK kali ini dan bagaimana untuk usahakan semula memenangi kepercayaan rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, beliau percaya pimpinan PH akan mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan bagi mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kekalahan di Tanjung Piai.

“Kita perlukan satu reset dari segi cara berfikir untuk memastikan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dapat diterjemahkan untuk memenuhi harapan rakyat serta janji PH yang masih belum dilunaskan,” katanya.