X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu Terengganu hormati Tun M walau tak sependapat

Dr Mahathir dan Razali
A
A

SHAH ALAM - Bersatu Terengganu menghormati kenyataan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sudah dijangka.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, walaupun jangkaan itu bertentangan dengan ramalannya namun beliau percaya Tun M punyai laporan daripada pihak-pihak yang boleh membuat jangkaan betul.

"Sejujurnya, saya tidak menjangkakan kekalahan ini kerana kita nampak semasa berkempen sokongan meningkat khususnya pengundi Melayu, kalau kita tengok 'mood' semasa kempen itu daripada rumah ke rumah tiada masalah.

"Dari segi bacaan sikap kita lihat sokongan itu dan tidak nampak kekalahan sebegini teruk. Namun, apabila keputusan saya lihat ia satu 'protes dalam diam'.

"Kenyataan Tun M yang sudah jangka kalah, mungkin beliau sudah ada laporan yang boleh buat jangkaan betul, namun apabila terlampau banyak majoriti undi, beliau pun tidak menjangka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun M yang mengakui kekalahan parti itu di Tanjung Piai sudah dijangka dengan majoriti kemenangan yang dicapai Barisan Nasional (BN) sekitar 2,000 undi sahaja.

Menurutnya, keputusan kekalahan itu baginya satu isyarat yang sangat jelas rakyat menolak kerajaan PH apatah lagi Barisan Nasional atau UMNO di Johor sangat kuat.

"Saya tidak sangka sampai lebih 15,000 majoriti undi cuma saya rasa peluang yang ada 50-50.

"Jadi kita perlu istiqamah untuk memperbaiki setiap kekurangan terutamanya jentera-jentera kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri, kita harus melihat secara jelas apakah tindak tanduk mereka selama ini disukai atau tidak oleh rakyat.

Katanya, Bersatu Terengganu menyokong kenyataan Tun M untuk melakukan bedah siasat (post mortem) secara menyeluruh dan jentera kerajaan perlu ambil bahagian bukan tuding jari kepada sesiapa.

"Kita seharusnya cermin diri masing-masing adakah tindakan kita buat selama ini baik untuk rakyat atau sebaliknya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN PH buat 'post-mortem' kenal pasti punca kalah