PH hilang fokus, ditenggelami populariti 'bossku'

 Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menunjukkan isyarat pola perubahan selera politik Malaysia boleh berubah dari semasa ke semasa.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, Pakatan Harapan (PH) dilihat seolah hilang fokus setelah menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu malah masih bersikap seperti pembangkang menjadikan tarikan ceramah dan kempen PH tidak lagi menyengat berbanding dahulu.

Menurutnya, ditambah pula dengan kegagalan PH menunaikan beberapa manifesto, peningkatan kos sara hidup, serta keputusan dan dasar kerajaan di semua peringkat yang dijadikan ukuran pengundi.

“Saya percaya dalam masa terdekat ini hasil suara rakyat di Tanjung Piai akan berlaku satu situasi politik luar jangka yang baharu dan menarik.

"PH akan berhadapan dilema dan pertembungan dalaman yang hebat, namun diharap ia tidak jejaskan kestabilan dan keselamatan negara,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya PH mengubah gerak kerja mereka, sama ada di peringkat Kabinet, negeri mahupun kepimpinan semua peringkat.

“Sudah tiba masanya kerajaan serius mendekati masalah sebenar rakyat di pelbagai peringkat, supaya apa yang diperlukan rakyat dapat difahami.

"Hayati kehidupan dan keperluan rakyat, dekati dan sayangi mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Md Shukri berkata, kemerosotan pengaruh PH turut dipengaruhi populariti pembangkang yang kini serasi dengan konsep bossku Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Konsep pembangkang popular kini ada pada Najib, malah ikatan bersama Pas yang dipenuhi penceramah hebat mampu menarik minat pengundi,” katanya.

Menurutnya, populariti 'bossku' Najib serta sindiran tajam beliau menjadi alat politik paling berkesan yang pernah dilakukan UMNO.

“Struktur PH kelihatan tidak kukuh selain dibayangi ramai pembuat keputusan antara asas utama kekalahan, malah jentera PH dilihat kurang tersusun.

"PH ditenggelami populariti 'bossku' dengan gaya santai dan mesra ternyata berjaya menarik minat pelbagai golongan termasuk orang muda,” katanya.