Wanita PH Terengganu senada dengan Dr Mahathir

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar senada dengan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sudah dijangka.

Menurutnya, beliau secara peribadinya turut merasakan sedemikian (kalah) namun keputusan itu tidak bermakna atau menunjukkan PH telah gagal secara keseluruhan sebagai sebuah kerajaan.

"Saya bersetuju dengan Dr Mahathir dan telah dapat merasakan kesukaran bagi PH untuk kekalkan kemenangan di Tanjung Piai dan dalam keadaan sekarang ini dilihat dekat mana-mana PRK berlaku, senarionya memang macam itu.

"Kita(PH) akan alami kekalahan sebab kita masih gagal memberi kefahaman kepada rakyat apa yang sebenarnya kerajaan hendak bawa.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk kita biasakan rakyat dengan benda yang baharu, mereka belum serasi. Dulu 60 tahun lepas (kerajaan Barisan Nasional) mereka sudah serasi dengan pentadbiran dan sistem macam itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian bagi diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengakui kekalahan parti itu pada Tanjung Piai sudah dijangka dengan majoriti kemenangan yang dicapai Barisan Nasional (BN) sekitar 2,000 undi sahaja.

Sharifah Norhayati yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu berkata, keputusan itu bukan menunjukkan bahawa PH telah gagal cuma dari segi kefahaman kepada rakyat perlu diterapkan dan diberikan keyakinan.

"Apabila kita cuba tarik rakyat daripada sistem lama (sewaktu pentadbiran BN) kepada sistem baharu bawah PH memanglah ada keburukan dan kebaikan tersendiri.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat masih belum faham sepenuhnya bahawa kita sebenarnya melakukan sesuatu yang baik untuk jangka masa panjang walaupun kelihatan tidak begitu disukai untuk hari ini," katanya.