Mara tawar pembangunan usahawan

Zulfikri (tengah) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Technopreneur BizTalk 2019 di sebuah hotel di Alor Setar semalam.
Zulfikri (tengah) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Technopreneur BizTalk 2019 di sebuah hotel di Alor Setar semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) diyakini menawarkan ekosistem pembangunan usahawan kepada usahawan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Mara (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman berkata, tidak dinafikan terdapat agensi lain yang turut memberi bantuan dari segi pembangunan usahawan.

Bagaimanapun, menurutnya Mara menawarkan pembangunan usahawan melibatkan tiga elemen iaitu modal insan, bisnes dan fasiliti sokongan.

"Di Malaysia ada banyak agensi menawarkan pembangunan keusahawanan, ada agensi ditubuhkan untuk bantu usahawan. Ada agensi perniagaan yang utama ialah benda lain namun tetap melaksanakan program demi membantu usahawan.

"Mara antara agensi yang lengkap menawarkan ekosistem pembangunan usahawan paling lengkap sekali," katanya pada Technopreneur BizTalk 2019 di Hotel Royale Signature Alor Setar di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Mara Kedah, Yahaya Sani dan Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kedah, Ramle Leen.

Zulfikri berkata, daripada segi modal insan, pihaknya menyediakan latihan keusahawanan, pemasaran dan lain-lain bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan usahawan antaranya melalui aktiviti bimbingan (coaching).

"Daripada segi bisnes, Mara akan membantu usahawan meningkatkan rangkaian (networking) dan produk mereka melalui perkhidmatan ditawarkan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulfikri berkata, Mara turut memiliki kira-kira 7,200 premis termasuklah rumah kedai, arked, bengkel dan lot kilang bagi fasiliti sokongan untuk usahawan.

"Tidak ketinggalan, kita juga memiliki fasiliti sokongan berbentuk pembiayaan yang pelbagai untuk golongan berkaitan demi membantu mereka menjalankan perniagaan," katanya.