PH buat 'post-mortem' kenal pasti punca kalah

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Satu 'post-mortem' akan dijalankan di semua peringkat parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih kepada pihak lawan namun jumlahnya di luar jangkaan apabila jangkaan tersebut hanya sekitar 2,000 undi, berbanding keputusan rasmi majoriti sebanyak 15,086 undi.

"Saya terima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai.

"Oleh itu, kita akan buat satu 'bedah siasat' secara terperinci, serius serta jujur di semua peringkat parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, PRK Tanjung Piai menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kembali kerusi Parlimen itu dengan memperoleh sebanyak 25,466 undi mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Empat lagi calon bertanding iaitu Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) hanya memperoleh 1,707 undi, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) dengan 850 undi serta dua calon bebas masing-masing Dr Ang Chuan Lok (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghafar (32 undi).

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras sepanjang tempoh PRK Tanjung Piai berlangsung.

Artikel Berkaitan: