Pembangunan pesat punca banjir

Penduduk Kampung Seri Sentosa berharap kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah penduduk yang menderita sejak enam tahun lalu.
Penduduk Kampung Seri Sentosa berharap kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah penduduk yang menderita sejak enam tahun lalu.
A
A
A

BEBERAPA projek perumahan di sekitar kawasan Puncak Alam, Desa Coalfields, Saujana Utama dan Ijok di daerah Kuala Selangor di Selangor semakin pesat membangun.

Kawasan pinggir bandar itu mula 'sesak' dengan projek perumahan bermula daripada projek kos rendah hingga paling mahal mengikut kemampuan kewangan pembeli.

Projek perumahan yang diibaratkan cendawan tumbuh selepas hujan begitu menarik minat pembeli mendiami kawasan itu kerana mempunyai kemudahan jaringan jalan raya sistematik menghubungkan kawasan bandar yang berdekatan.

Pelbagai reka bentuk rumah dapat dilihat di kiri dan kanan jalan setiap kali melalui beberapa projek perumahan yang dibangunkan di kawasan terbabit.

Namun di sebalik kerancakan pembangunan di kawasan itu, beberapa penduduk kampung tradisional di kawasan rendah terpaksa berdepan risiko banjir.

Penduduk di Kampung Seri Sentosa misalnya, hidup dalam tekanan apabila kediaman mereka sering tenggelam setiap kali hujan lebat.

Bayangkan pada bulan Oktober lalu sahaja, lebih 10 kali kediaman mereka dilanda banjir lumpur akibat limpahan air sungai berhampiran.

Malah sehingga Jumaat lalu, penduduk terus dihantui masalah sama hingga mereka buntu memikirkan masalah yang dilihat seperti tiada kesudahan.

Artikel Berkaitan:

Ironinya masalah dihadapi mereka bukan hanya berlaku tahun ini tetapi penderitaan ditanggung mereka berlarutan sejak enam tahun lalu.

Seorang penduduk, Hairul Razid Mohamad Seri berkata, terdapat banyak projek perumahan dibangunkan di kawasan sekitar, namun keadaan sungai di kampung itu terlalu sempit.

"Sungai kampung ini terlalu kecil dan tidak mampu menampung air lebihan daripada beberapa kawasan perumahan berhampiran terutama jika berlakunya hujan.

"Jika berlaku hujan berterusan lebih tiga jam, kawasan kampung ini mula dinaiki air lumpur secara berperingkat-peringkat," katanya.

Katanya, sampai satu tahap mereka sekeluarga terpaksa membiarkan kediaman dipenuhi lumpur kerana tidak larat membersihkan rumah.

"Sepanjang tempoh sebulan ini sahaja, sudah tiga kali air melimpah masuk ke rumah. Kalau hari ini kami bersihkan rumah, esok kotor semula," katanya.

Penduduk kerugian

Penduduk juga sudah lali berulang-alik ke Dewan Orang Ramai Desa Coalfields sebagai rumah kedua jika bah melanda.

Malah, penduduk terpaksa menanggung kerugian apabila banyak perkakas rumah rosak dan sebahagiannya terpaksa dibuang.

Penduduk mengeluh kerana banjir lumpur melanda rumah mereka menyebabkan tilam, katil, perabot dan alat elektrik rosak.

Bayangkan rata-rata mereka hanya bekerja kampung terpaksa berhabis duit untuk menggantikan barangan rosak.

Selain itu, kesan paling ketara akibat banjir ialah kesihatan mangsa terjejas berikutan penyakit berjangkit mudah menular

Banjir yang berlaku menyebabkan sampah dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air.

Sampah dan sisa najis bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Antara penyakit yang kerap berlaku sewaktu dan selepas banjir adalah demam kepialu (tifoid), taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan.

Besar harapan penduduk agar kerajaan Selangor menangani perkara itu segera termasuk melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan terlibat.

Beberapa langkah perlu dilaksanakan antaranya mendalamkan dan melebarkan lagi sungai serta membina benteng penahan air sungai daripada melimpah masuk ke rumah penduduk.

Sinar Harian pada 28 Oktober lalu melaporkan, kerajaan negeri berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang bakal dilaksanakan mampu menangani banjir di beberapa kawasan rendah di Kuala Selangor.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, projek yang diluluskan itu sedang dalam proses pembidaan dan dijangka mengambil tempoh dua tahun untuk dilaksanakan.

"Kita berharap projek ini dapat dijalankan segera kerana sebelum ini telah diluluskan, tetapi pada Jun 2018 projek ini sedang dinilai semula," katanya.