X

Kindly register in order to view this article
!

'Kemenangan BN mimpi ngeri untuk PH'

Ismail Sabri Yaakob
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) adalah mimpi ngeri Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu menggambarkan perasaan rakyat Malaysia yang menolak kerajaan hari ini.

Menurutnya, ia adalah referendum rakyat serta mesej jelas bahawa mereka tidak lagi percaya kepada Kerajaan PH untuk menerajui negara.

"Penolakan terhadap PH di Tanjung Piai bukanlah yang pertama, malah kerajaan ditolak berturut-turut sebanyak tiga kali sejak PRK Cameron Highlands, diikuti Semenyih dan Rantau.

"Majoriti kekalahan PH meningkat dari lebih 3,000 di Cameron Highlands kepada lebih 4,000 di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak kepada lebih 15,000 di Tanjung Piai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, PRK Tanjung Piai menyaksikan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kembali kerusi parlimen itu dengan memperoleh sebanyak 25,466 undi mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Empat lagi calon yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) hanya memperolehi 1,707 undi, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dengan 850 undi serta dua calon bebas masing-masing Dr Ang Chuan Lok (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghafar (32 undi).

Ismail Sabri berkata, kemenangan dengan majoriti besar itu di luar jangkaan lebih-lebih lagi calon PH adalah dari parti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Bersatu.

Katanya, Perdana Menteri sendiri turun ke Tanjung Piai yang juga berada di negeri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Namun semua itu tidak mengubah keputusan rakyat Tanjung Piai yang 65 peratus daripada mereka memberikan isyarat yang jelas melalui kertas undi.

"Rakyat sebenarnya amat kecewa bukan sahaja kegagalan kerajaan menunaikan manifesto tetapi memperbodohkan rakyat dengan alasan seperti mereka membuat manifesto yang tidak boleh ditunaikan kerana tidak yakin mereka akan menang di dalam PRU14.

"Yang menambahkan kekecewaan rakyat apabila dasar kerajaan yang dilihat gagal malah membebankan hidup mereka. Bagi rakyat cukuplah sekali ditipu, mereka tidak rela ditipu secara berterusan lagi," katanya.

Ismail Sabri berkata, jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan Parlimen.