X

Kindly register in order to view this article
!

Asmuni, Nizar tanding pemilihan Amanah Perak

Akhiruddin menunjukkan senarai calon yang bertanding pada Pemilihan Amanah Perak 2019 pada 23 November nanti ketika sidang media hari ini.
A
A

IPOH - Pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) Perak tahun ini menampilkan 45 calon termasuk pengerusinya, Datuk Asmuni Awi dan timbalan pengerusinya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan merebut 17 tempat ahli jawatankuasa (AJK) Amanah Perak yang bakal dipertandingkan, 23 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Perak, Akhiruddin Mohamad Taib berkata, pada peringkat awal, seramai 60 orang dicalonkan bagi pemilihan itu tetapi 15 daripadanya menarik diri.

Menurutnya, selain Asmuni dan Mohammad Nizar yang juga Exco Kerajaan Perak, seorang lagi Exco, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Kamunting, Dr Muhd Fadhil Nuruddin; ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkapli turut tersenarai.

"Pada pemilihan kali ini, seramai 195 perwakilan terdiri daripada wakil kawasan, sayap Pemuda Amanah dan Wanita Amanah akan memilih ahli jawatankuasa Amanah Perak yang baharu," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma Amanah Perak, Greentown Nova di sini hari ini.

Beliau berkata, 17 ahli jawatankuasa yang menang dalam pemilihan berkenaan akan bertindak memilih pengerusi negeri, timbalan dan dua naib pengerusi dalam kalangan mereka.

Mengulas lanjut, pemilihan kali ini turut menampilkan dua calon Cina dan seorang calon India yang akan merebut tempat di dalam jawatankuasa Amanah negeri, selain melibatkan empat wakil wanita dan lima wakil pemuda yang akan bersaing dalam 17 tempat yang dipertandingkan.

Dalam pada itu, Akhiruddin berkata, selepas tarikh akhir jawapan pencalonan pada 14 November lalu, hanya Juruaudit 1 dan Juruaudit 2 menang tanpa bertanding.

Beliau berkata, selain juruaudit, jawatan dipertandingkan pada pemilihan kali ini adalah speaker dengan tiga calon menawarkan diri untuk bertanding, manakala empat calon lain setuju dicalonkan sebagai timbalan speaker.

Sementara itu, beliau berkata, pemilihan tersebut dijadual dirasmikan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, proses pengundian pada hari berkenaan dijangka bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 petang dan keputusan pengiraan undi dijangka selesai jam 4 petang.

Dalam perkembangan berkaitan, Akhiruddin menasihatkan semua calon agar berkempen secara sihat dan berharap perjalanan pemilihan berjalan lancar.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!