Anak tukang jahit bukti kemampuan

Nur Farziana (kiri) dan Nor Syahirah (dua dari kiri) bersama dua lagi graduan yang menerima anugerah sama pada Majlis Konvokesyen UMP semalam.
A
A

KUANTAN - "Kekuatan, kecekalan dan ketabahan ibu menjadi pendorong serta inspirasi saya untuk berjaya," kata anak tukang jahit, Nur Farziana Hussien, 23, yang terpilih menerima Anugerah Yayasan Pahang pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) semalam.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan itu berkata, kesungguhan ibunya mencari rezeki dengan menjahit pakaian untuk membesarkannya tujuh beradik menjadi pencetus semangat untuk dirinya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Menurutnya, ibunya menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas kematian bapanya akibat angin ahmar lebih empat tahun lalu.

“Saya bukan datang dari keluarga senang, jadi saya faham kesusahan ibu sebab itu saya belajar bersungguh-sungguh.

"Namun saya tidak sangka pihak UMP memilih saya sebagai penerima anugerah dan ini pasti membanggakan seluruh keluarga termasuk ibu saya," katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen UMP semalam.

Nur Farziana memberitahu pada penghujung semester akhir pengajian dia menghadapi tekanan selepas mendapat tahu ibunya menghidap penyakit kanser tahap empat, namun pengajian perlu dihabiskan segera.

"Siapa tidak terkejut bila dapat tahu ibu sakit. Fokus saya pada ketika itu terjejas tetapi ibu banyak bagi semangat. Alhamdulillah semangat ibu membuat saya cemerlang di sini," katanya.

Seorang lagi penerima anugerah sama, graduan Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastuktur) UMP, Nor Syahirah Mahmudin, 23, berkata, kejayaan yang diraih itu berkat daripada amalan solat Dhuha dan Tahajud pada setiap hari.

Menurutnya, amalan solat Dhuha dan Tahajud itu dilakukan setiap hari agar memudahkan setiap urusan terutama dalam pembelajaran.

"Setiap urusan kita tak dapat harapkan usaha kita saja, sebaliknya perlu yakin dan berharap terhadap pertolongan ALLAH SWT.

"Syukur, Alhamdulillah kerana terpilih menerima anugerah ini. Mungkin kerana dengan berkat sokongan dan doa daripada keluarga, terutama kedua-dua ibu menjadi kunci utama kejayaan yang diterima," katanya.