Ini adalah tsunami rakyat, kata Ahmad Jazlan

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dijulang oleh penyokong-penyokong BN yang gembira dengan kemenangan besar pada PRK Tanjung Piai malam ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dijulang oleh penyokong-penyokong BN yang gembira dengan kemenangan besar pada PRK Tanjung Piai malam ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - “Ini bukan tsunami Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum, ini adalah tsunami rakyat,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengulas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurutnya, PRK tersebut merupakan titik permulaan Muafakat Nasional yang terbukti sebagai formula baharu yang memberi keyakinan, bukan sahaja kepada rakyat Tanjung Piai, malah juga negara.

Melalui muafakat itu menurutnya, kemenangan tersebut bukanlah kejayaan BN semata-mata tetapi juga kejayaan dan kemenangan Pas.

“Saya melihat jentera BN dan Pas bertungkus-lumus sebelum dan semasa hari pilihan raya. Kita tidak mungkin menang jika gabungan ini tidak dipiagamkan tempoh hari.

“Rakyat kini bangkit dan tidak mahu melihat negara tenat dari segi pentadbiran dan ekonomi di bawah pembohongan kerajaan pakatan.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini dengan menerima hakikat rakyat telah menolak mereka seawal pentadbiran mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu turut menegaskan, kemenangan BN juga membuktikan rakyat kini melihat Muafakat Nasional sebagai alternatif baharu buat mereka.

Keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berjaya mengetepikan persaingan daripada lima calon lain selepas dua minggu tempoh berkempen dengan majoriti sebanyak 15, 086 undi.

Artikel Berkaitan:

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berjaya memperoleh 25, 466 undi mengatasi Karmaine Sardini (PH) yang memperoleh 10, 380 undi, Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah Malaysia) 850 undi.

Dua lagi calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masing hanya memperoleh 380 undi dan 32 undi.