'Kita terima keputusan rakyat' - TPM

Dr Wan Azizah
Dr Wan Azizah
A
A
A

IPOH - "Ini adalah keputusan pengundi, kita terima," itu komen ringkas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Beliau berkata, keputusan yang menyaksikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng itu adalah hak rakyat.

"Memang ini adalah keputusan rakyat, jadi kita terimalah, jika mereka fikirkan ada apa-apa kekurangan, kita akan cuba perbaikinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019 di Dataran Dewan Bandaraya Ipoh di sini malam tadi.

Kemenangan Jeck Seng berjaya mengetepikan saingan daripada lima calon lain selepas dua minggu tempoh berkempen dengan kelebihan majoriti sebanyak 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh undi 25,466 mengatasi calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam (1,707 undi), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dengan 850 undi sementara dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masingnya memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Sebelum ini, kerusi Parlimen berkenaan disandang oleh PH, iaitu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Dr Md Farid berjaya memenangi kerusi itu dengan kelebihan 524 undi mengalahkan penyandangnya iaitu Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen bagi dua penggal di Tanjung Piai.

Artikel Berkaitan: