Pusat pengundian ditutup, keputusan dijangka jam 10 malam

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Kesemua 27 pusat pengundian melibatkan 125 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ditutup tepat pukul 5.30 petang setelah dibuka jam 8 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat jam 4.00 petang sahaja ialah 70 peratus yang merupakan sasaran SPR sehingga tamat proses pengundian hari ini.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 125 saluran itu dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini dan keputusan dijangka diumumkan pada jam 10 malam.

PRK ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,471 pengundi biasa.

Selasa lepas, ​​​​​​91 peratus daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis telah pun melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang merupakan PRK kesembilan, diadakan selepas kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada PH.- Bernama

Artikel Berkaitan: