64 peratus keluar mengundi setakat jam 3 petang

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Hanya tinggal kira-kira dua jam sebelum semua 125 saluran mengundi ditutup dengan 64 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 3 petang tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran 70 peratus daripada 52,471 pemilih berdaftar keluar mengundi hari ini.

Kesemua 27 pusat mengundi dibuka sejak pukul 8.00 pagi tadi dan akan ditutup pada jam 5.30 petang ini.

Dengan tempoh yang tinggal kira-kira dua jam lagi, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun sekali lagi menyeru para penyokong atau parti politik supaya tidak menimbulkan provokasi yang boleh menjurus pergaduhan hari ini.

“Pengurusan pilihan raya sebenarnya amat berjalan lancar kerana pihak sekretariat berkebolehan dan berpengalaman. Masalahnya ialah penyokong parti politik atau parti politik itu sendiri yang tidak menjaga parti yang berkumpul di tepi jalan dan bersorak sorak antara satu sama lain.

“Saya banyak kali menyeru agar parti politik dan calon tidak berbuat demikian tetapi sayangnya berlaku juga pada PRK kali ini,” katanya.

Azhar berkata, untuk keputusan malam ini SPR menyasarkan pengisytiharan kemenangan dapat dilakukan sebelum jam 10 malam namun jika tiada aral melintang, ia mampu dilakukan lebih awal.

Sebelum itu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media berkata proses pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan tenang.

Artikel Berkaitan:

PRK kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) serta Gerakan dan dan dua calon Bebas. - Bernama