Budak enam tahun cedera digigit anjing liar

Anggota bomba sedang memeriksa keadaan mangsa yang cedera digigit anjing. Foto: Ihsan PDRM
A
A

PORT DICKSON - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera digigit anjing liar di Sekolah Agama Rakyat Awaluddin Batu 7 Jalan Pantai Telok Kemang di sini petang tadi.

Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu berlaku ketika mangsa sedang menunggu kelas dibuka.

"Difahamkan mangsa secara tiba-tiba diserang seekor anjing yang menggigitnya di bahagian leher dan tangan.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan dan pihak sekolah telah memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, polis jalankan siasatan di lokasi dan pihak sekolah memaklumkan anjing liar berkenaan sering masuk ke dalam kawasan sekolah.

Aidi Sham berkata, pihaknya telah memaklumkan tentang kejadian kepada Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Port Dickson untuk tindakan lanjut.

"Mangsa yang ditahan di wad Hospital Port Dickson dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.