Syed Saddiq gesa Papagomo dikenakan tindakan

Kenyataan media Syed Saddiq.
Kenyataan media Syed Saddiq.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Harapan Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar kenyataan rasis Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang dikatakan ingin menarik kembali hak demokrasi bukan Melayu di negara ini.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai ugutan, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan mahukan tindakan tegas diambil ke atas Papagomo.

Menurutnya, tuntutan menjaga hubungan rakyat Malaysia dan keamanan negara harus diangkat merentas perbezaan fahaman politik.

"Sebagai sebuah sayap parti di dalam Bersatu dan Pemuda Harapan (PH), tanggungjawab menjaga keharmonian negara adalah satu tugas yang paling penting.

"Malangnya, salah seorang Exco Pemuda UMNO dengan lantangnya melaungkan apa yang saya kira sebagai 'manifesto' berbentuk hasutan seperti 'kaum India dan kaum Cina tidak dibenarkan mengundi di Malaysia' dan 'saya yakin orang Sabah Sarawak setuju untuk kaum Cina tidak dibenarkan mengundi di Malaysia'.

"Ini bukan kenyataan dari orang kebiasaan. Kenyataan ini hadir dari Exco Pemuda UMNO dan disebarkan kepada umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, penjelasan yang cuba dilakukan Papagomo untuk mempertahankan kenyataan selepas rakaman beliau juga amat menjelekkan.

"Kononnya, kenyataan itu hanya untuk 'Cina DAP'. Soalnya, adakah ugutan untuk menarik hak 'Cina DAP' ini tidak salah?

Artikel Berkaitan:

"Seolah-olah, apa saja ugutan dan serangan perkaum kepada ahli DAP 'dibenarkan'," katanya.

Menurutnya, tindakan yang tidak bermaruah itu sama sekali perlu dibuang jauh-jauh dari politik Malaysia.

"Malah, rasisme terhadap DAP, sebuah parti yang dianggotai oleh rakyat berbilang bangsa adalah amat memalukan dan perlu dikenakan tindakan yang keras.

"DAP adalah salah satu komponen penting dalam PH. Sikap prejudis dan perkauman bukan satu amalan yang dipupuk di dalam PH," katanya.

Katanya, Pemuda PH akan memastikan mengundi hak semua orang tidak mengira bangsa ataupun parti yang disokong akan terus dibela.