Noor Azizi dilantik Naib Canselor UMK

Noor Azizi Ismail
Noor Azizi Ismail
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Prof. Dr. Noor Azizi Ismail dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkuat kuasa mulai 7 Januari hingga 6 Januari 2022.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, Noor Azizi akan menggantikan Prof. Datuk Dr. Husaini Omar yang tempoh perkhidmatannya sebagai Naib Canselor berakhir esok.

“Pelantikan Noor Azizi sebagai Naib Canselor UMK adalah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau semasa memegang jawatan-jawatan pentadbiran utama di pelbagai peringkat. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Utara Malaysia (UUM),” katanya.

Noor Azizi lahir pada 7 Januari 1969 memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Sistem Maklumat Perakaunan dari University of Memphis, Amerika Syarikat.

Beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran Perakaunan dan Sistem Maklumat pada tahun 2004 dari Loughborough University, United Kingdom.

Dari segi pengalaman pentadbiran peringkat universiti, selain jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, beliau yang memulakan kerjaya sebagai pensyarah jurusan sistem maklumat perakaunan di UUM juga pernah menyandang jawatan sebagai Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Kolej Perniagaan UUM dan Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business UUM.

“Noor Azizi pernah mendapat pelbagai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa antaranya, Lecturer Excellence Award daripada SAS Institute pada tahun 2008, anugerah Kepimpinan Inovatif pada tahun 2011, Anugerah Kepimpinan Pendidikan pada tahun 2013 daripada CMO Asia’s Best B-School dan terbaharu pada tahun 2018 menerima Movers & Shakers Award daripada Asia HRD Awards,” ujarnya.

Justeru itu, Kementerian Pendidikan berharap agar pelantikan tersebut akan menyumbang kepada kesinambungan pencapaian dan kecemerlangan UMK dalam mencapai visi dan misi sebagai universiti yang berfokuskan keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian Pendidikan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Husaini atas khidmat bakti, kepimpinan serta kepakaran beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UMK,” katanya.