Henti amalan parti politik miliki syarikat media

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN – Syarikat media diingatkan supaya lebih profesional dalam memainkan peranan mereka untuk menyebarkan maklumat yang tepat kepada pembaca tanpa penglibatan mana-mana ahli politik.

Justeru, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, parti politik atau ahli politik tidak seharusnya memiliki syarikat media bagi memastikan syarikat media bebas.

“Kami tahu beberapa akhbar dimiliki oleh parti politik dan sudah tiba masanya untuk amalan ini dihentikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran kewangan MarkdetPlace Fair@Penang anjuran Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata bidang perniagaan, pendidikan dan media tidak harus diadunkan dengan politik.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Kabinet bersetuju untuk menaikkan komisen jualan bagi bahan bakar sebanyak tiga sen bagi menampung sebarang kerugian kepada pengusaha stesen minyak.

Menurutnya kenaikan komisen tersebut adalah tinggi selepas kerajaan menetapkan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam semalam.

Guan Eng berkata, penurunan harga runcit produk petroleum terbaru ini menawarkan situasi menang-menang bagi semua pihak kerana rakyat kini boleh menikmati harga bahan bakar yang lebih murah berdasarkan harga global walaupun jika ia meningkat di pasaran dunia.

“Bagi melindungi pengguna daripada kenaikan harga pasaran global, harga runcit untuk produk petroleum akan dihadkan pada harga RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan harga RON95 serta RON97 diturunkan sebanyak 27 sen menjadi RM1.93 dan RM2.23 seliter manakala harga diesel turun 14 sen menjadi RM2.04 seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Jan.

Guan Eng berkata, harga runcit produk petroleum akan diselaraskan semula setiap minggu supaya pengguna boleh mendapat manfaat daripada sebarang perubahan dengan cepat sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia ketika ini. - Bernama