Apa jua bentuk kempen wajib ada permit

Mohd Kamarudin (kiri) menunjukkan borang permohonan permit kempen ketika sidang media di IPD Pontian hari ini.
A
A

PONTIAN- Permit kempen rumah ke rumah yang hangat diperkatakan sejak semalam sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai seharusnya tidak ditimbulkan kerana ia sudah termaktub bawah Akta Pilihan Raya 1954.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, apa sahaja bentuk kempen sama ada ceramah, bergerak dengan kenderaan, berjalan kaki atau sebagainya perlu mendapatkan permit yang dikeluarkan ketua polis daerah.

"Kena ada permit tidak kisahlah ceramah atau apa juga bentuk kempen wajib dapatkan permit di bawah Seksyen 24B Akta Pilihan Raya 1954.

"Kalau pergi ke rumah- rumah untuk berkempen memang perlu dapatkan permit, tetapi jika bertujuan ziarah tidak libatkan kempen, tidak timbul isu permit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh dan Pengarah Pilihan Raya Johor, Shafie Taib.

Mohd Kamarudin berkata, permit ketika kempen akan memudahkan pemantauan keselamatan dilakukan anggota polis selain mengelakkan pertembungan lokasi dan masa kempen yang sama bagi setiap calon yang bertanding.

"Selepas berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), melihat kepada insiden yang telah berlaku di Tanjung Piai sepanjang tempoh berkempen, penambahbaikan bagi memastikan kempen selamat dijalankan telah dilaksanakan.

"Permohonan bagi mendapatkan permit tidak sukar hanya perlu mengisi 12 perkara berkaitan maklumat peribadi di atas borang permohonan permit," katanya.

Beliau menjelaskan sebanyak 562 permit kempen telah dikeluarkan sepanjang PRK Tanjung Piai berlangsung iaitu Barisan Nasional (304), Pakatan Haraan (124), Gerakan (115), Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) (8) dan bebas ( 11).

"Saya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan calon dan parti yang bertanding kerana setakat ini hanya laporan yang diterima tentang billboard dan bendera yang jatuh," katanya.

Kempen PRK Parlimen Tanjung Piai bermula pada 2 November lalu selepas penamaan calon dan hari pengundian pada 16 November ini.

PRK itu menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan ( Karmaine Sardini), Barisan Nasional (Datuk Seri Wee Jeck Seng), Gerakan ( Wendy Subramanian), Berjasa ( Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz) dan dua calon bebas ( Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Dr Ang Chuan Lock).