Suami didakwa lacurkan isteri, jadi bapa ayam

Tertuduh lelaki (kiri) bersama isterinya (dua dari kanan) dibawa penguatkuasa JHEAT bertugas ke kaunter pembayaran mahkamah untuk proses jaminan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu melacurkan isteri dan muncikari (bapa ayam) kepada wanita itu.

Tertuduh, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 27 dan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Dia yang juga peniaga air mengekalkan pengakuan itu selepas ditanya sebanyak tiga kali oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melacurkan atau membiarkan isterinya berusia 32 tahun melacurkan diri di sebuah bilik hotel di daerah ini, kira-kira jam 8.40 malam, pada 24 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, tertuduh didakwa melakukan muncikari atau menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara isterinya dan lelaki lain di bilik hotel sama, waktu dan hari yang sama.

Untuk kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, isterinya yang juga suri rumah turut didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Bagaimanapun wanita itu juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan kesalahan itu bersama seorang pelanggannya di bilik hotel sama, waktu dan hari sama.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Fazru Anuar Yusof daripada Tetuan Khairul Sofian Anuar & Co.

Sejurus pengakuan pasangan itu direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, mahkamah membenarkan tertuduh lelaki dibebaskan dengan jaminan RM2,000 bersama seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Manakala tertuduh wanita dibebaskan dengan jaminan RM1,500 bersama seorang penjamin selain menetapkan syarat kedua-dua penjamin adalah individu berbeza.

Sebelum itu, Hakim Syarie menegur tindakan tertuduh wanita yang mengenakan pakaian lengkap muslimah termasuk memakai purdah semasa hadir ke mahkamah samada kerana untuk menutup malu atau kerana ALLAH.

"Saya tidak kisah jika awak memang memakai (purdah) selama ini tetapi sekiranya baharu hari ini, awak mengenakan pakaian muslimah tersebut semata-mata hendak menutup malu, itu adalah niat yang salah.

"Tindakan awak memilih pakaian muslimah yang lengkap dengan menutup aurat semata-mata hadir ke mahkamah sahaja boleh merosakkan imej agama Islam," katanya tegas.

Pasangan suami isteri itu ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas tindakan mereka yang mempromosikan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat dihidu.