SPR rekod 93 kesalahan sepanjang kempen

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Sebanyak 93 kesalahan pilihan raya telah direkodkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sejak 2 November lepas sehingga semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, kesemua kesalahan itu direkodkan oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dan diambil tindakan berdasarkan kepada lawatan dan pemantauan PP-KPR sehingga semalam.

“Sebanyak 80 kesalahan melibatkan pemasangan bahan kempen statik di premis awam yang tidak dibenarkan melibatkan empat parti yang bertanding,” kata SPR dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun rasmi Twitter, di sini hari ini.

Sementara itu, kesalahan lain yang direkodkan antaranya pemasangan bahan kempen di luar kawasan Parlimen Tanjung Piai, pemasangan bahan kempen yang berunsur provokasi dan tidak mempunyai maklumat pencetak, kesalahan melibatkan taklimat dan ceramah atau program.

Selain itu, sebanyak 32 laporan polis diterima setakat semalam.

“Sebanyak 20 laporan melibatkan video tular ucapan seorang menteri yang disifatkan berbaur perkauman dan menyalahi undang-undang pilihan raya,” kata SPR.

Sementara itu, laporan polis melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tindakan menurunkan bahan iklan pilihan raya yang dipercayai tiada permit dan dakwaan bendera sebuah parti diturunkan.

Turut diterima ialah tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan bantuan khas kepada nelayan termasuk nelayan Tanjung Piai dan pemberian kad sim semasa ceramah umum sebuah parti yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

Menurut SPR, setakat semalam sebanyak 100 ceramah atau program telah dipantau PP-KPR. - Bernama