Lelaki balut badan dengan dadah kantoi di KLIA2

Polis merampas dadah yang dilekatkan di badan suspek dipercayai untuk diseludup ke Surabaya, Indonesia semalam.
A
A

SEPANG - Taktik lapuk seorang lelaki yang menyembunyikan kira-kira dua kilogram (kg) dadah di bahagian badan untuk diseludup keluar negara mengundang padah selepas dia dicekup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini semalam.

Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dengan kerjasama pihak Polis Bantuan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) kira-kira jam 7.45 pagi.

Menurutnya, suspek terbabit ditahan selepas keadaannya yang mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas.

"Pemeriksaan menjumpai sejumlah kira-kira 2kg disyaki dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM120,000 dibalut di bahagian badan suspek.

"Siasatan awal mendapati dadah itu akan diseludup ke Surabaya, Indonesia," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya turut memberkas seorang lagi lelaki tempatan berusia 29 tahun di ruang menunggu pelepasan antarabangsa KLIA2.

Katanya, soal siasat mendapati suspek pertama dipercayai ditawar kerja oleh sindiket dengan bayaran RM12,000 manakala suspek kedua yang berperanan bagi mengawasi suspek pertama sehingga sampai ke destinasi diupah RM2,000.

"Ini adalah kali pertama suspek cuba menyeludup dadah dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan terbabit.

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.