91 peratus keluar mengundi awal

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berakhir jam 5 petang tadi dengan hampir 100 peratus daripada 280 pengundi yang layak mengundi, berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Setakat 5 petang tadi, rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 91 peratus pengundi awal telah pun menunaikan kewajipan mereka.

Terdahulu, saluran satu yang melibatkan 21 pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas telah pun ditutup jam 1 tengah hari, manakala saluran dua untuk 259 pengundi bagi kawasan DUN Kukup ditutup jam 5 petang.

Sebelum itu, kedua-dua saluran mengundi di Bangunan Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian itu dibuka serentak jam 8 pagi.

Pengundi awal merangkumi 210 pegawai dan anggota polis yang bertugas di DUN Kukup, 18 orang yang bertugas di DUN Pekan Nanas, 38 orang bertugas di luar daerah dan 14 orang lagi melibatkan pegawai dan anggota yang telah bersara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh ketika dihubungi berkata, semua peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap Balai Polis Pontian sebelum dikira pada hari pengundian 16 November ini di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini

Selain itu, beliau berkata, tiada insiden tidak diingini berlaku.

Terdahulu, tinjauan Bernama di lokasi pengundian pada awal pagi mendapati cuaca yang baik turut membantu proses pengundian berjalan lancar dengan 10 pegawai dan anggota polis dari IPD Pontian turut ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Proses pengundian turut memperlihatkan kehadiran anggota pemerhati SPR dan ejen setiap calon.

Beberapa calon yang bertanding dalam pilihan raya itu juga dilihat sempat melawat pusat pengundian berkenaan dengan yang terawal ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada jam 7.56 pagi.

Ini diikuti calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam yang melawat pada jam 8.03 pagi; calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pada 8.20 pagi; calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar pada jam 10.10 pagi; calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (10.15 pagi) dan seorang lagi calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock jam 2.30 petang.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang bakal menyaksikan saingan enam penjuru, berlangsung berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. - Bernama