Rakyat tak perlu undi pembangkang untuk buat kerajaan 'mendengar'

Anwar bercakap kepada pemberita selepas majlis sembang santai di Ibu Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai hari ini. - Foto Bernama
Anwar bercakap kepada pemberita selepas majlis sembang santai di Ibu Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Rakyat tidak perlu untuk mengundi pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini hanya untuk memastikan kerajaan 'mendengar' rintihan mereka, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun mengakui PRK Tanjung Piai adalah satu pertandingan sengit, beliau yakin dengan kewibawaan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dan telah mengarahkan jentera PKR untuk beri sokongan sekuatnya kepada Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu.

“Ketika mendengar taklimat pimpinan Keadilan (PKR) mengenai proses undian di Tanjung Piai. Mereka beri maklumat tentang keluhan yang banyak daripada rakyat mengenai beberapa isu.

“Jadi kita dengar dan saya merasakan tak perlu kita (rakyat) undi pembangkang... kerana kita (kerajaan) dengar... keluhan mereka (daripada isu) petani, nelayan, pekebun kecil, pengangguran daripada kalangan pelajar, kemudahan kesihatan dan pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas sesi sembang santai di Pejabat PKR Cabang Tanjung Piai di sini hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memberi contoh bagaimana kerajaan 'mendengar' dengan kehadiran beberapa pemimpin PH termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta beberapa menteri yang hadir pada majlis melibatkan Karmaine.

Ketika ditanya mengenai kurangnya kehadiran masyarakat pada ceramah PH ketika kempen beliau berkata, perkara itu memang biasa di setiap kempen pilihan raya.

“Itu biasa. Orang nak dengar... Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Anwar sebagai PH sekarang, tak sama. Isu yang sama, tapi nadanya lain,” kata beliau sambil tersenyum.

Beliau turut menjelaskan 'kehadiran' masyarakat setempat menunjukkan mereka mahu mendengar isu yang disampaikan.

Artikel Berkaitan:

“Contest pilihan raya ini bukan contest ceramah tetapi contest isi dan contest meraih sokongan,” kata Anwar.

Ketika ditanya lebih lanjut sama ada kehadiran itu akan diterjemahkan ke dalam undi, beliau berkata: “Jika anda perhatikan corak pilihan raya yang lepas, saya menghimpunkan sokongan penuh di semua dewan undangan yang saya kunjungi tetapi kita tidak menang semua kerusi berkenaan”.

“Tetapi sekiranya anda mengukur hanya dengan nombor, sudah tentu kita boleh menang tetapi itu tidak perlu,” katanya.

Yang turut hadir ialah Dr Sahruddin yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai bagi PH serta beberapa pemimpin PKR Johor. - Bernama