Lelaki tak sedar berbogel di khalayak ramai

Gambar yang memaparkan seorang lelaki berjalan secara berbogel di Jalan Kinabalu di sini, semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai berhadapan tekanan ekoran peribadi telah minum arak berlebihan menyebabkannya tidak sedarkan diri sehingga berbogel di khalayak ramai.

Lelaki berusia 30-an itu berjalan berseorangan di hadapan sebuah bangunan di Jalan Kinabalu, di sini semalam sebelum disedari orang awam pada jam 5.27 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanathan berkata, kereta peronda dan anggota unit rondaan bermotosikal (URB) diarahkan ke lokasi selepas mendapat maklumat berkaitan kejadian itu.

"Polis Dang Wangi telah dimaklumkan oleh anggota trafik kira-kira jam 3.27 petang, terdapat seorang lelaki dipercayai berbangsa Cina sedang berjalan berbogel di hadapan bangunan Daya Bumi, Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur.

"Ekoran dari itu, sebuah kereta peronda dan anggota unit rondaan bermotosikal telah diarahkan ke lokasi tersebut dan telah menemui lelaki berkenaan.

"Anggota kereta peronda telah berjaya memujuk lelaki tersebut untuk masuk ke dalam kereta peronda tanpa sebarang kelakuan agresif," katanya dalam suatu kenyataan.

Mohd Fahmi berkata, anggota polis yang bertugas kemudiannya telah membelikan pakaian untuk lelaki tersebut dan memberikannya wang saku sebagai tambang pulang ke rumahnya.

“Siasatan kita mendapati lelaki itu tidak sedar dia berbogel di khalayak ramai kerana minum minuman keras berlebihan dan lelaki berkenaan juga tidak mempunyai sebarang masalah mental.

"Sebaliknya dia menyatakan menghadapi tekanan sehingga tidak dapat mengawal perasaannya akibat masalah peribadi, menyebabkannya meminum minuman keras secara berlebihan sehingga tidak sedar yang beliau berbogel di khalayak ramai.

"Memandangkan lelaki tersebut tidak berpakaian, anggota polis kemudian telah membelikannya pakaian dari kedai bundle dan juga telah memberikan sedikit wang saku untuk dijadikan tambang untuk balik ke rumahnya di kawasan Brickfields," katanya.