PRK Tanjung Piai: Polis terima 28 laporan

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Polis Diraja Malaysia (PRDM) menerima 28 laporan sejak penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 2 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Mohd Din berkata, daripada 28 laporan berkenaan, polis telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 4 A (1) Akta Pilihan Raya 1954.

Menurutnya, satu lagi kes yang dilaporkan oleh seorang calon daripada salah satu parti yang bertanding telah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Polis juga telah mengeluarkan sebanyak 447 permit kempen politik bagi PRK kali ini.

"Ia melibatkan 75 permit kepada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (264), Berjasa (4), Gerakan (99) dan lima permit kepada parti Bebas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, kesemua parti yang bertanding pada PRK kali ini diingatkan mendapatkan permit untuk mengadakan ceramah atau sebarang aktiviti berkaitan.

Katanya, permohonan permit berkenaan bertujuan agar calon-calon bertanding tidak bertembung ketika melakukan aktiviti berkempen.

“Apabila bertembung dikhuatiri akan berlaku provokasi. Bila timbul provokasi, mereka tak dapat bersabar. Tambah-tambah dalam keadaan hari ini. Kita tak mahu timbul masalah lain.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun setakat ini tidak ada ceramah yang tidak memohon permit. Ada beberapa insiden yang berlaku apabila menggunakan kenderaan untuk kempen, mesti dapatkan permit dan patuhi juga segala syarat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis berpuas hati dengan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen mulai 2 November lalu.

Katanya, setakat ini tiada sebarang insiden besar yang berlaku melainkan insiden terpencil seperti isu poster dicabut, poster diterbalikkan dan sebagainya.

“Secara keseluruhannya kita dapati untuk minggu ini kempen akan bertambah rancak. Oleh itu kita harap semua parti patuhi peraturan dan elakkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Kita harap untuk tempoh yang ada ini sehingga pada hari pengundian semuanya berjalan lancar,” katanya.