Video kontroversi tak jejas peluang PH

Mukhriz (tiga dari kanan) menyerahkan sijil penyertaan kepada wakil sekolah terlibat yang menjayakan program ‘Eco-Schools’.
Mukhriz (tiga dari kanan) menyerahkan sijil penyertaan kepada wakil sekolah terlibat yang menjayakan program ‘Eco-Schools’.
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin video kontroversi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Mukhriz juga menganggap tiada masalah dalaman serius membabitkan empat parti komponennya malah perbezaan pendapat antara parti sering dibincangkan dan diselesaikan pada mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Kita tak ada masalah dalaman pun, hubungan antara parti pada tahap baik. Mana boleh tadbir negeri jika tiada kesefahaman. Peringkat nasional pun sama.

"Setiap kali mesyuarat hampir semua pimpinan tertinggi hadir dan berlangsung secara harmoni,” katanya selepas Program ‘Eco-Schools’ peringkat Negeri Kedah di Pusat Sains Negara di Gunung Keriang hari ini.

Mukhriz yang juga ahli Majlis Presiden PH menyifatkan isu terbabit sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menggambarkan kononnya Bersatu ‘bergaduh’ dengan DAP.

“Ahmad Faizal akan keluarkan kenyataan berhubung isu ini. Beliau juga memaklumkan kenyataannya itu diambil di luar konteks. Beliau juga ada terangkan kepada kepimpinan Bersatu dan DAP, ia bukan masalah besar,” katanya mengulas gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu Ahmad Faizal membuat penjelasan berhubung isu terbabit.

Beliau turut menyelar pihak luar yang cuba memberi gambaran perpecahan PH, sedangkan BN turut terpalit isu sama.

“Saya ingin ingatkan, hubungan antara parti dalam Barisan Nasional (BN) pun tidaklah baik sangat. Masakan Gerakan pun letak calon di pilihan raya sama yang itu orang tak perasan pula.

Artikel Berkaitan:

"Dulu ada 14 parti bawah BN. Sekarang di Sarawak pun berpecah. Kalau mahu timbulkan keretakan PH, orang yang menuduh itu patut cermin diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz menganggap dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Norden bahawa jangka hayat Bersatu bergantung kepada hayat Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad semalam adalah sekadar mahu menggugat PH.

“Kenyataan itu sekadar mahu menggugat PH dan saya anggap ia sindrom penafian UMNO yang masih terkejut akan kekalahan PRU14. Saya bagi jaminan PH bukan kerajaan sepenggal.

"Tuduhan seperti itu hanya bagi rangsangan untuk kami penuhi hasrat rakyat selain mengukuhkan lagi kesepakatan dalam PH,” katanya sebagai membidas kenyataan bahawa jangka hayat Bersatu bergantung kepada hayat Dr Mahathir kerana tiada pemimpin pelapis dan dipenuhi individu yang pandai lompat parti sahaja.