'Jangan terlalu yakin' - KJ

A
A
A

PONTIAN - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanjung Piai tidak terlalu yakin dengan peningkatan kehadiran pengundi Cina pada program dan ceramah parti itu.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pihaknya bimbang dengan perang saraf yang diguna pakai DAP memomokkan pengundi Cina sepanjang kempen PRK.

Menurutnya, perang saraf itu dibimbangi mempengaruhi pengundi lebih-lebih lagi mereka memainkan sentimen undi kepada calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng adalah sama dengan undi kepada politik rasis UMNO dan Pas.

"Saya hendak beritahu jentera kita jangan terlalu yakin...sebab saya risau dengan perang saraf yang diguna pihak DAP.

"Tuduhan mengatakan undi kepada Jeck Seng adalah undi untuk Pas, undi untuk politik rasis UMNO dan Pas adalah tidak benar dan sangat tidak bertanggungjawab.

"Sebab itu kita kena tumpu banyak masa di kawasan pengundi Cina (sepanjang kempen PRK ini), " katanya kepada media pada program santai bermotosikal anak muda di Serkat di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy turut menyifatkan sokongan pengundi muda terhadap calon BN semakin baik.

Menurutnya, sokongan itu bersejak PRK Parlimen Cameron Highlands susulan sangat kecewa dengan Kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

"Mereka kecewa kerana gagal memenuhi manifesto pilihan raya terutama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), peluang pekerjaan dan rasa dimainkan pada pilihanraya umum lepas," katanya.