[VIDEO] Aksi tarik tali di koridor buat netizen imbau zaman kolej

Tangkap layar video yang memaparkan mahasiswa UTP bermain tarik tali di koridor kolej kediaman mereka.
A
A

SERI ISKANDAR - Video memaparkan mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) melakukan acara tarik tali di koridor kolej kediaman mereka mencuit hati netizen yang menontonnya.

Perkongsian video berdurasi 27 saat itu dimuat naik oleh @_amrlhakim di laman Twitter miliknya kini tular di media sosial yang meraih 534,900 tontonan, 26,000 ulang kicau dan rata-rata warganet terhibur dengan gelagat yang dilakukan oleh mereka.

Ada di antara netizen juga memberitahu bahawa apa yang dilakukan mereka akan menjadi kenangan selepas menamatkan pengajian dan dirindui apabila menempuh alam pekerjaan.

"Aduh, rindu nak buat benda-benda pelik ketika menuntut di universiti dulu. Duduk di kolej adalah kenangan yang paling akan anda ingati geng bila nanti dah habis menamatkan pengajian lebih-lebih lagi bila kerja," tulis Adam45 di Twitter.

Rahimmanan menulis "Wey, ini belum dibuat orang lain main tarik tali dekat koridor kolej. Percayalah cakap aku benda-benda macam ini lah yang akan korang ingati selepas korang semua habis belajar."

Dalam pada itu, Amirul Akim, 19, ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pada mulanya seorang daripada rakannya hanya berniat untuk memeriksa tali tersebut yang digunakan sebelum itu pada acara sukaneka.

Perkongsian Amirul di laman Twitter miliknya kini tular di media sosial hingga meraih lebih 500,000 tontonan.
Perkongsian Amirul di laman Twitter miliknya kini tular di media sosial hingga meraih lebih 500,000 tontonan.

Bagaimanapun katanya, selepas dibentangkan sepanjang koridor asrama, rakannya terdetik untuk mengajak rakan-rakan yang lain bermain tarik tali.

"Dia ajak dalam 12 ke 15 orang dekat aras kediaman kami. Semua terus setuju untuk bermain.

"Walaupun dalam video itu hanya dalam beberapa saat, namun kami bermain tarik tali itu hampir 15 minit menyebabkan mereka kepenatan," katanya.

Dalam pada itu, Amirul yang mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia di UTP berkata, dia tidak menyangka video yang dimuat naik di Twitter miliknya itu menerima pelbagai reaksi sehingga tular di media sosial.

"Asalnya saya muat naik video itu petang semalam hanyalah sekadar suka-suka dan untuk simpanan diri saya tapi hari ini saya tengok ramai yang tengok video ini sehingga mencecah ratusan ribu.

"Saya juga tak sangka video ini boleh tular di media sosial dan saya berterima kasih kepada netizen kerana terhibur dan sudi berkongsi gelagat yang kami lakukan di asrama," katanya.

Antara reaksi netizen yang terhibur dengan gelagat kumpulan mahasiswa terbabit.
Antara reaksi netizen yang terhibur dengan gelagat kumpulan mahasiswa terbabit.