Pas Kedah bantu kempen BN di Tanjung Piai

Mohd Azam
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah antara kumpulan awal yang menggerakkan jentera untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng di PRK Tanjung Piai.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Somat berkata, kumpulan pertama telah ke sana dan akan disusuli kumpulan kedua pada minggu hadapan yang diketuai Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid.

Menurutnya, gerak kerja itu dilakukan dalam usaha untuk membantu gabungan Muafakat Nasional merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan.

"Jentera kempen daripada Pas Kedah telah disusun lebih awal dan pada hari penamaan calonpun, pimpinan utama Pas telah berada di Tanjung Piai.

"Saya yakin hubungan yang baik dalam Muafakat Nasional akan memberikan kesan baik sebab sebelum ini orang fikir kerjasama ini akan meminggirkan orang bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah Pas dan UMNO dalam satu persidangan parti itu di Muar pada 3 November lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini.

Mohd Azam berkata, PRK Tanjung Piai membuktikan bahawa Muafakat Nasional tidak meminggirkan kaum lain apabila BN telah menamakan calon kaum Cina dari MCA.

Menurutnya, Pas memberikan sokongan kepada keputusan yang telah dibuat oleh BN dengan memilih Jeck Seng.

Sementara itu, ketika diminta mengulas keputusan Berjasa yang berada dalam blok Gagasan Sejahtera namun turut meletakkan calon dari parti itu, beliau enggan mengulas lanjut.

"Kami serahkan isu ini yang berkaitan dasar kepada pusat bagaimana untuk menanganinya. Kami sekarang perlu fokus bagaimana untuk mempertahankan gabungan Muafakat Nasional dalam menghadapi PRU15," katanya.