PRK Tanjung Piai: Calon Bebas ada kelebihan?

No Image Caption
A
A
A

NEGERI Johor Darul Takzim amat penting bagi Pakatan Harapan (PH) kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu PH berjaya memenangi 18 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor.

Dengan kemenangan di negeri itu, PH memenangi 98 kerusi Parlimen di Semenanjung seterusnya dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu bagi menggantikan Barisan Nasional (BN).

Mahu tidak mahu, sudah pastinya PH akan berusaha keras agar mereka dapat mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai, Johor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 16 November ini.

Malah faktor kemenangan pada PRU14 juga sudah tidak lagi sesuai untuk digunakan. Kali ini PH berdepan laluan sukar termasuk perlu berdepan dengan jentera dan calon Maufakat Nasional BN - Pas.

Bak kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas beranggapan PRK Parlimen Tanjung Piai adalah simbol bagi konsep ta’awun demi perubahan peringkat nasional dan mewakili Muafakat Nasional.

Selain itu, calon PH, Karmaine Sardini juga berdepan dengan empat lagi calon Bebas selain calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang dipersetujui Pas bertanding bagi mewakili permaufakatan itu.

Empat lagi calon dalam pertembungan enam penjuru itu ialah calon Gerakan, Wendy Subramaniam, Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Persoalan yang bermain di bibir sesetengah masyarakat bagi merujuk kepada calon parti pemerintah itu adalah faktor umur dan kredibiliti Karmaine untuk dipilih menjadi calon selepas tewas sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga di kem pembangkang, BN memilih Jeck Seng, yang merupakan bekas penyandang dan kembali bertanding walaupun tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafiq pada PRU14.

Sehubungan itu, Karmaine dan Jeck Seng perlu bekerja keras bagi memahat nama mereka di hati pengundi dan di bibir netizen jika mereka ingin dipilih sebagai wakil rakyat pada PRK ini.

Mereka juga tidak boleh memandang ringan dengan kehadiran empat calon Bebas kerana kehadiran calon Bebas kali ini bukan sekadar untuk merosakkan undi tetapi boleh menjadi pilihan bagi pengundi.

Walaupun agak sukar untuk calon Bebas membentuk kerajaan, namun kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pengundi di Tanjung Piai untuk membuat pilihan.

Sejarah telah membuktikan bahawa calon Bebas sukar untuk memenangi pertandingan di mana jika terdapat calon-calon parti besar bertanding. Namun calon Bebas tetap ada kelebihan mereka yang tersendiri.

Sekiranya menang, sekurang-kurangnya calon Bebas terbabit dapat melakukan tugas 'check and balance' kepada kerajaan.

Namun di sebalik mencari kemenangan paling penting semua pihak perlu mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen PRK Parlimen Tanjung Piai sehingga jam 11.59 malam, 15 November ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula Sabtu lalu dengan tarikh mengundi pada 16 November sementara pengundian awal akan dijalankan pada 12 November.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 orang pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52 peratus atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan Bumiputera Sabah (0.09 peratus atau 47 pengundi).

Selepas BN cemerlang di tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, adakah PRK kali turut menyebelahi BN?

*Mohd Azlim Zainury ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional