Janin bayi ditemukan di loji rawatan kumbahan

Janin ditemukan terperangkap di bawah perangkap sampah di loji rawatan kumbahan Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai pagi tadi. - Foto Bernama
Janin ditemukan terperangkap di bawah perangkap sampah di loji rawatan kumbahan Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai pagi tadi. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Satu janin bayi ditemukan di loji rawatan kumbahan di Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai pagi tadi.

Janin itu ditemukan terperangkap di bawah perangkap sampah oleh kakitangan penyelenggaraan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, janin itu dipercayai telah meninggal dunia antara 24 sehingga 36 jam sebelum ditemui.

Menurutnya, pegawai perubatan menganggarkan janin berkenaan berusia kira-kira sembilan bulan namun ujian bedah siasat ke atas janin itu akan dijalankan esok untuk mengesahkan usia dan jantinanya.

“Kami cuba menentukan punca yang menyebabkan janin dibuang ke loji rawatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Farid berkata, siasatan akan ditumpukan kepada segenap sudut iaitu sama ada janin adalah hasil daripada 'keguguran semula jadi' atau sebaliknya dan bagaimana ia boleh berada di kawasan itu.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Labuan dengan menelefon 087- 506222. - Bernama

Artikel Berkaitan: