Harga petrol, diesel turun tengah malam ini

Berkuatkuasa mulai tengah malam ini, harga runcit bagi minyak petrol dan diesel diturunkan.
Berkuatkuasa mulai tengah malam ini, harga runcit bagi minyak petrol dan diesel diturunkan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Berkuatkuasa mulai tengah malam ini, harga runcit bagi minyak petrol RON95 diturunkan daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter, manakala harga runcit diesel diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Harga RON97 pula diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter bagi tempoh mulai esok sehingga 11 Januari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

"Harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini.

"Pengumuman harga runcit akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu, dan berkuat kuasa mulai hari Sabtu sehingga Jumaat," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 2 Januari lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat pertimbangan terhadap harga produk petroleum tersebut selepas menerima pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak yang mendakwa kerajaan membuat keuntungan ekoran penurunan harga minyak dunia.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, kerajaan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

"Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

Artikel Berkaitan:

"Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi.

"Kaedah baru ini ialah inisiatif Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang tidak pernah diamalkan sebelum ini," kata beliau.

Beliau berkata, pengekalan harga pada paras tersebut adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran.