Pochettino simpati nasib Gomes
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino meluahkan rasa simpati terhadap pemain Everton, Andre Gomes susulan kecederaan serius yang dialami pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park awal pagi tadi.
Menurut Pochettino, beliau amat kesal insiden pada minit ke-79 yang menimpa yang menyebabkan bekas pemain Barcelona berusia 26 tahun itu sehingga dia mengalami patah buku lali.
“Kami di Tottenham Hotspur memohon maaf atas insiden yang berlaku terhadap Gomes, nasibnya tidak begitu baik dalam perlawanan itu. Saya secara peribadi amat sedih dengan kejadian yang menimpa Gomes.
"Pada masa adalah masa muram memperkatakan mengenai bola sepak kerana apabila kita berbicara mengenai bola sepak pasti akan teringat insiden yang berlaku terhadap Gomes," katanya.
Insiden malang itu berlaku apabila tonggak Spurs, Son Heung-min mengasak Gomes dari arah belakang sebelum dia bertembung dengan pertahanan Spurs, Serge Aurier sehingga menyebabkan kecederaan serius pada buku lalinya.
Pada masa sama, Pochettino memberitahu, Heung-min turut berasa bersalah atas kecederaan yang menimpa pemain tengah The Toffees berkenaan biarpun penyerang Korea Selatan itu dilayangkan kad merah.
"Sonny (Heung-min) juga dibelenggu perasaan bersalah terhadap insiden yang menimpa Gomes selepas kejadian itu. Dia kelihatan cukup sedih sehinga menyebabkan kami sukar untuk menenangkan dia
"Jika kita lihat semula pada ulang tayang di televisyen, kita dapat lihat bukan niat Sonny untuk mencederakan Gomes, sebaliknya hari yang tidak berapa baik buah Gomes, keluarganya dan Everton," ujarnya.
Mengenai perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 itu, Pochettino mengakui beliau kecewa skuad kendaliannya gagal meraih tiga mata penuh selepas mendahului hasil jaringan Delle Ali pada minit ke-63.
"Apabila Sonny dilayangkan kad merah, situasi perlawanan mula berubah. Pada mulanya, kami bertahan dengan baik, namun bolos akhirnya dan saya kecewa dengan keputusan ini," katanya yang turut menganggap Heung-min tidak wajar dilayangkan kad merah.