[VIDEO] Dua sindiket ah long di Pahang tumpas

Mohd Yusni menunjukkan barang yang dirampas daripada dua sindiket ah long di Pahang pada sidang media di IPK Pahang hari ini.
Mohd Yusni menunjukkan barang yang dirampas daripada dua sindiket ah long di Pahang pada sidang media di IPK Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Polis Pahang menumpaskan dua kumpulan sindiket ah long yang bergiat aktif menawarkan pinjaman wang secara haram di negeri ini sejak lima tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, anggota sindiket terbabit berjaya ditahan di dua daerah iaitu Kuantan dan Temerloh dalam Ops Vulture yang diadakan pada 30 Oktober lalu.

Menurutnya, seramai 14 ditahan termasuk dua wanita berumur antara 18 hingga 42 tahun yang berasal dari Pahang, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

"Kita lakukan rampasan yang dianggarkan bernilai RM1.01 juta dan antara yang dirampas ialah lapan buah kenderaan bernilai RM950,000, tiga utas jam tangan (RM44,700), 31 telefon bimbit (RM14,500) dan komputer riba (RM3,000).

"Operasi ini dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang menerusi enam siri serbuan serentak dan menumpaskan dua kumpulan ah long terbesar di Pahang walaupun bagaimana pun masih ada kumpulan ah long yang sedang dalam pantauan dalam pihak polis di Pahang," katanya pada sidang media di IPK Pahang hari ini.

Mohd Yusri berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati sindiket terbabit bergiat aktif di daerah Kuantan dan Temerloh dengan menyasarkan penjawat awam, orang persendirian yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi mahu mendapat wang dengan cara mudah.

Jelasnya, faedah bayaran balik yang dikenakan sebanyak 18 peratus dan ke atas iaitu bergantung kepada komitmen bayaran balik daripada peminjam.

Artikel Berkaitan:

Antara kenderaan yang dirampas polis dalam operasi yang diadakan pada 30 Oktober lalu.
Antara kenderaan yang dirampas polis dalam operasi yang diadakan pada 30 Oktober lalu.

"Pihak juga mendapati sindiket mendapatkan pelanggan secara terbuka dengan mengedarkan kad pinjaman wang yang mempunyai butiran nama syarikat, Facebook, WhatsApp dan bunting yang digantung pada pokok di sekitar kawasan perumahan dan di tepi jalan.

"Ini kaedah yang mereka lakukan bagi memastikan golongan sasar terpengaruh seterusnya membuat pinjaman dengan sindiket terbabit," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, enam kertas siasatan dibuka dan akan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951.

"Jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang RM250,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Dalam kes ini 14 individu yang ditahan itu kini masih ditahan reman yang akan berakhir Rabu ini.

Selain itu Mohd Yusri menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pinjaman tanpa lesen.

"Jika ingin membuat pinjaman mereka perlu mengikut saluran yang betul bagi mengelak menjadi mangsa sindiket ah long terbabit," katanya.