X

Kindly register in order to view this article
!

Eki idam kesebelasan utama Harimau Malaya

Shahrel Fikri bersama pemain-pemain Harimau Malaya lain giat menjalani latihan pada hari pertama skuad Harimau Malaya di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, hari ini. Foto: Football Association of Malaysia (Official)
A
A

PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengintai slot kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Thailand pada 14 November dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Pemain berusia 25 tahun itu sedar beliau perlu bersaing dengan penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha dan wakil Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad untuk memikat hati ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

Pemain yang lebih mesra dengan panggilan 'Eki' dalam kalangan rakan sepasukan, kali terakhir beraksi pada kempen pusingan kelayakan pertama menewaskan Timor-Leste dengan agregat 12-2, Jun lalu, sebelum disisihkan susulan kecederaan pangkal paha yang dialaminya.

”Saya berterima kasih kepada Cheng Hoe yang kerap bertanya khabar mengenai tahap kecederaan saya selepas perlawanan menentang Vietnam sebelum ini kerana beliau masih memerlukan khidmat saya.

"Dalam tempoh beberapa hari, Cheng Hoe mahu lihat saya kembali cergas seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas pemain kelab Liga Perdana Thailand, Nakhon Ratchasima FC itu mendedahkan kecederaannya semakin pulih dan bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik sekiranya diturunkan Cheng Hoe pada dua perlawanan berkenaan nanti.

Shahrel Fikri pada masa sama, turut berharap dapat diberi peluang oleh Cheng Hoe untuk kembali mempamerkan sentuhan penyudahnya pada aksi pemanas badan di antara Malaysia dan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Nov ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengesahkan kesemua 12 pemain yang menyertai sesi latihan itu bebas daripada sebarang kecederaan, sambil menambah 13 pemain Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) diberi rehat sebelum melapor diri Selasa ini selepas beraksi pada final Piala Malaysia, semalam.

Pengendali berusia 51 tahun itu pada masa sama turut menegaskan krisis ketandusan penyerang tidak wujud dalam kem skuad kebangsaan kerana barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang diamanahkan kepada mereka.

"Cuma (pemain tengah Perak), Brendan Gan sahaja yang tidak bersama hari ini kerana beliau perlu menyelesaikan masalah keluarga di Australia, dan beliau dijangka melapor diri dalam beberapa hari lagi," jelas Cheng Hoe.

Beliau sebelum ini menyenaraikan 26 pemain untuk aksi menentang Thailand dan Indonesia.

Malaysia kini menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam Kumpulan G kelayakan dengan kutipan tiga mata selepas tiga perlawanan.