Dua rakan samun warga emas

Salah seorang suspek memaksa mangsa masuk ke dalam rumah.
Salah seorang suspek memaksa mangsa masuk ke dalam rumah.
A
A
A

KLANG - Satu rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) tular menunjukkan dua lelaki menyamun sebuah rumah dipercayai di Taman Klang Jaya di sini, Khamis lalu.

Video dimuat naik pemilik akaun Facebook pada jam 1.50 petang semalam itu mendapat tontonan lebih 200 netizen.

Dalam rakaman video berdurasi kira-kira 6.30 minit itu menunjukkan kereta milik mangsa memasuki parkir selepas pintu pagar automatiknya terbuka.

Sebelum pintu pagar itu tutup, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah berkenaan sebelum seorang lelaki keluar dari kenderaan itu dan berlari ke arah mangsa.

Suspek berkenaan membuka pintu kereta mangsa dan mengarahkannya untuk membuka semula pintu pagar automatik itu bagi membolehkan rakannya masuk untuk mengambil kunci rumah daripada suspek pertama.

Rakaman itu menunjukkan ketika suspek kedua membuka kunci mangga pada pintu rumah, suspek pertama dilihat menarik mangsa iaitu seorang wanita warga emas yang bertongkat masuk ke dalam rumah.

Setelah kedua-dua suspek masuk ke dalam rumah, salah seorang suspek bertindak menutup pintu rumah berkenaan.

Bagaimanapun, tidak jelas apa yang berlaku kepada wanita warga emas itu kerana tidak ada butiran lain mengenai kes samun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut, polis sedang dalam tindakan mengesan suspek.

“Orang awam yang mengetahui kejadian ini diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.