X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

PH perlu beri jaminan MPKKP tiada unsur politik

Haslihelmy DM Zulhasli
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta memberi jaminan bahawa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) tidak berunsurkan politik seperti dakwaan mereka terhadap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini.

Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, PH perlu membuktikan penubuhan MPKKP berbeza peranannya dengan JKKKP.

"Kita tidak mahu penubuhan MPKKP ini ada motif politik sebab mereka (PH) mendakwa JKKKP adalah berunsur politik, satu pembaziran dan salah guna kerajaan Pusat.

"Jadi, mereka perlu buktikan kepada rakyat perbezaan itu janganlah pula ada unsur politik berbanding memberi khidmat kepada masyarakat secara telus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkenaan penubuhan jawatankuasa itu baru-baru ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, MPKKP akan berkuat kuasa dan memulakan tugas pada Januari 2020 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi peruntukan sedia ada.

Menurut Fuziah, MPKKP akan diwujudkan di empat negeri yang bukan di bawah kerajaan Persekutuan, manakala MPKK tidak lagi di bawah tanggungan kerajaan serta pihak negeri boleh meneruskan dengan pembiayaan sendiri.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Haslihelmy berkata, kerajaan PH hanya mencedok idea daripada kerajaan terdahulu dan menjenamakan semula kononnya mereka mewujudkan idea atau pendekatan baharu bagi membantu penduduk khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, JKKKP yang merupakan sebuah organisasi kepimpinan di peringkat akar umbi dalam membantu penduduk khususnya di kawasan luar bandar bagi mendapatkan kehidupan lebih baik dan sejajar dengan pembangunan negara.

Bagaimanapun, katanya, kini kerajaan PH membuat keputusan untuk menambah baik MPKK sedia ada ketika ini.

"Jadi, saya hendak tahu apa beza antara JKKK dan JKKKP sebelum ini dengan MPKK dan MPKKP?

"Bukankah ia hanya sekadar penjenamaan semula kerajaan PH selepas menang PRU14," katanya.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditubuhkan bagi membantu penduduk khususnya di kawasan luar bandar bagi mendapatkan kehidupan lebih baik dan sejajar dengan pembangunan negara.

Selepas JKKK, kerajaan terdahulu selepas 8 Mac 2008 menubuhkan pula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan atau singkatannya JKKKP.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!