Sukar buat PH kekalkan kerusi Tanjung Piai: Penganalisis

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dijangka berdepan tugas sukar untuk mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihan raya kecil (PRK) yang membuka tirai secara rasminya semalam.

Bukan sekadar faktor keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang menjadi penentu, malah isu semasa di peringkat nasional dan parti turut diambil kira.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, biarpun begitu, beliau yakin PH melalui calon taruhan mereka, Karmaine Sardini mampu mengekalkan kemenangan bagi meneruskan usaha ditinggalkan penyandang terdahulu juga dari parti sama, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Menurutnya, undi daripada kaum Cina menjadi tumpuan pada PRK kali ini memandangkan Barisan Nasional (BN) menaruhkan Datuk Seri Wee Jeck Seng yang berpengalaman menerajui Tanjung Piai selama dua penggal sebelum tewas pada PRU14 dengan majoriti 524 undi.

“Saya rasa majoriti masih sokong PH tetapi waktu yang sama, kita akan melihat peningkatan undi bagi calon BN disebabkan oleh pertama, undi protes terhadap apa yang berlaku di peringkat nasional dan disebabkan faktor dalaman PH sendiri.

“Bagaimanapun pada pandangan saya, PH masih lagi boleh mengekalkan sokongan majoriti pengundi Cina tetapi dalam masa yang sama, kita akan melihat peningkatan sokongan dalam kalangan masyarakat Cina ke atas BN dan mungkin Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) juga akan mendapat sebilangan kecil daripadanya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut bergantung kepada peratusan keluar mengundi pada 16 November depan.

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, BN kini diperkuatkan dengan sokongan UMNO-Pas melalui Muafakat Nasional yang mampu untuk menggabungkan pengundi daripada kedua-dua parti.

Artikel Berkaitan:

Awang Azman
Awang Azman

Biarpun BN meletakkan calon bukan Melayu-Islam yang menjadi tunjang UMNO-Pas, Awang Azman berkata, konsep walak Pas dapat menyeru penyokong mereka untuk mengundi calon BN daripada parti MCA.

“Kita kena tahu, UMNO-Pas mempunyai kerjasama melalui Muafakat Nasional. Apabila ada kerjasama rasmi ini, pemimpin tertinggi Pas akan menggerakkan ahli dan penyokongnya untuk mengundi BN dan kita tahu konsep walak Pas itu sungguh kuat.

"Apabila konsep tersebut disuarakan oleh kepimpinan tertinggi mereka, kita akan lihat impaknya. Budaya politik Pas ini, mereka tunduk kepada konsep walak tersebut,” katanya.

Menyentuh isu yang bakal dibangkitkan di Tanjung Piai, Awang Azman menjangkakan bahawa pembangkang mempunyai kelebihan dengan menggunakan isu semasa yang dikitar semula untuk menentang kerajaan, sama seperti yang dilakukan PH ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

“Menjadi pembangkang lebih mudah sebab modal mereka lebih kepada kritikan, mainan persepsi dan sebagainya. Jadi mereka akan gunakan apa-apa sahaja isu peringkat nasional daripada isu ekonomi rakyat, kos hidup semakin tinggi, peluang pekerjaan, isu perpaduan semakin rapuh dan sebagainya hingga isu berkaitan kemudahan asas di Tanjung Piai itu sendiri.

“Mainan itu merupakan kelebihan buat BN tetapi kita perlu ingat, faktor PH terutamanya Bersatu itu juga kenal dengan parti UMNO sebab mereka sebahagian daripada UMNO dahulu. Jadi mereka akan cuba mematahkan naratif-naratif ini untuk memastikan rakyat tidak terpedaya dengan pelbagai kempen digerakkan oleh pembangkang,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU14, Md Farid, seorang pakar bius, memenangi kerusi Parlimen itu dengan pungutan undi sebanyak 21,255, manakala BN (20,731) dan Pas (2,962).

PRK Tanjung Piai bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon daripada PH, BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Keputusan pencalonan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir selepas pencalonan diterima secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Selain calon PH dan BN, empat lagi calon adalah Wendy Subramaniam, 38, dari parti Gerakan; Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, 55, (Berjasa); Dr Ang Chun Lok, 49, (Bebas) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43 (Bebas).