Pemimpin politik jangan polemik isu zakat

Kamarul Zaman Yusoff
Kamarul Zaman Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Pemimpin politik dinasihatkan tidak menimbulkan isu khilaf yang boleh mewujudkan polemik dalam masyarakat sebaliknya memberi keutamaan kepada perkara yang lebih penting.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, isu agihan zakat kepada bukan Islam tidak seharusnya dijadikan polemik terutama apabila masih ramai umat Islam memerlukan agihan zakat.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau yang menyatakan dalam konteks masyarakat berbilang bangsa Islam menggalakkan agihan zakat kepada bukan Islam ketika berdialog di Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam.

"Penjelasan lanjut perlu supaya tidak tidak wujud salah faham berhubung kenyataan beliau. Ini kerana Mufti Pulau Pinang tegas memaklumkan zakat hanya boleh diagih kepada bukan Islam jika kutipan zakat melebihi keperluan penerima Islam," katanya.

Menurutnya, penegasan itu sama dengan pendirian Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, yang dipetik berkata, agihan zakat di negeri mereka hanya kepada orang Islam.

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada September 2007 pernah memutuskan ‘pemerintah diharuskan memberi zakat kepada orang bukan Islam berdasarkan siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah’, namun pada masa sama memutuskan ‘pengagihan zakat perlu diberi keutamaan kepada umat Islam mengikut asnaf ditetapkan’.

“Ini termasuk Jawatankuasa Fatwa beberapa negeri menggariskan dengan jelas, siapa dari golongan bukan Islam yang diharuskan menerima agihan zakat.

"Contohnya, Kelantan (2007) memutuskan agihan wang zakat diharuskan kepada bukan Muslim dikhususkan untuk tujuan dakwah kerana kepentingan siasah syar’iyyah untuk pengembangan agama Islam membabitkan golongan bukan muslim (kafir) yang diharuskan menerima zakat adalah yang berkemungkinan menerima Islam dan orang yang boleh dipujuk supaya tidak memusuhi Islam,” katanya.

Dr Kamarul Zaman berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis (2016) pula memutuskan bukan Muslim (kafir) yang diharuskan menerima zakat adalah yang berkemungkinan menerima Islam dan orang yang boleh dipujuk supaya tidak memusuhi Islam, serta ketua kumpulan bukan Islam yang perlu dijinakkan hatinya kepada Islam.

Artikel Berkaitan:

“Secara umum, dibimbangi kenyataan ‘Islam menggalakkan agihan zakat kepada bukan Islam’ atau ‘wang zakat diagihkan kepada bukan Islam yang miskin’, ditafsirkan sebagai kenyataan populis untuk mengaut sokongan daripada bukan Islam semata-mata,” katanya.

Menurutnya, kenyataan kurang cermat sebegitu boleh menimbulkan persepsi golongan bukan Islam kelak menuntut hak mereka dalam agihan zakat, apatah lagi urusan agihan zakat kalangan asnaf masih belum memenuhi sasaran dan matlamatnya.