Sokong MCA bukti Pas tidak rasis: Idris

Idris
Idris
A
A
A

PONTIAN - Pas memberi sokongan penuh kepada calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kali ini membuktikan parti itu tidak rasis sebagaimana didakwa Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, kematangan Pas menerima calon MCA itu turut membuktikan parti itu sentiasa meraikan konteks masyarakat majmuk dengan meletakkan agama Islam dan hak istimewa kaum Melayu sebagai teras utama politik.

Menurutnya, perkara itu sudah termaktub dan ditekankan dalam perenggan pertama piagam Muafakat Nasional ditandatangani kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas pada 14 September lalu.

"Sejak 5 Mac lagi apabila pertemuan Muafakat Nasional kali pertama diadakan, kita sentiasa menekankan prinsip meraikan masyarakat majmuk di negara ini.

"Perkara itu Pas sudah letak pada perenggan pertama dalam konteks piagam dipersetujui bersama Pas dan UMNO.

"Mahu tidak mahu kita kena akur Malaysia terdiri masyarakat majmuk, namun teras politik adalah Melayu-Islam.

"Maka sebab itu PRK Tanjung Piai kali ini terjawab persoalan yang Pas terbukti bukan rasis," katanya kepada Sinar Harian di luar pekarangan pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Idris turut menyuarakan keyakinan lebih 2,000 pengundi Pas akan memberikan undian kepada Jeck Seng pada hari pengundian 16 November ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keyakinan itu disuarakan susulan percaya pengundi-pengundi Pas akan sentiasa menghormati keputusan kepimpinan tertinggi parti itu.

"Orang Pas ada satu sikap taat kepada arahan pimpinan parti dan saya yakin pengundi pas beri undi kepada calon disokong pimpinan Pas.

"Hari ini pun ramai sebenarnya penyokong Pas yang hadir memberi sokongan moral kepada calon MCA... Cuma mereka ada di bahagian belakang, "katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan sokongan Pas terhadap Jeck Seng bagi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Mahfuz berkata, ini kerana langkah tersebut jelas berbeza dengan tindakan Pas sebelum ini yang menggesa ahli partinya memberi keutamaan menyokong calon Islam sekiranya berlaku pertembungan dengan calon bukan Islam.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah secara berseloroh berkata, Pas perlu menyokong calon PH, Karmaine Sardini yang merupakan calon Islam dan mempunyai rekod baik.