SPR sedia pelan hadapi sebarang kemungkinan

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

PONTIAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyediakan beberapa pelan selain terlibat urus dengan pusat kawalan bencana sebagai persediaan berdepan hujan atau banjir kecil sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, antara pelan yang disediakan adalah seperti menyediakan pam, lori serta bot sebagai kegunaan membawa pengundi ke pusat mengundi dan lain-lain.

Menurutnya, SPR turut menubuhkan empat pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) melibatkan pihak penguatkuasaan, polis, pegawai SPR serta ejen daripada parti bertanding.

"SPR juga telah menyediakan Surat Aku Janji untuk ditandatangani oleh calon yang mengandungi 10 janji mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

"Selain itu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka bilik gerakannya yang beroperasi 24 jam di pejabat SPRM Johor.

"Pegawai-Pegawai SPRM juga akan membuat pemantauan di lapangan," katanya pada sidang akhbar setelah selesai proses penamaan calon PRK Parlimen Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah saingan enam penjuru di Tanjung Piai

Selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi, seramai enam pencalonan yang diterima melibatkan wakil Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, 66, menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan diikuti Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN); Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Dr Ang Chuan Lok (Bebas), Wendy Subramaniam (Gerakan), dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (Bebas).

Bagaimanapun, borang pencalonan seorang lagi calon Bebas, Chong Chai Huat ditolak kerana tiada penyokong dan pencadang sehingga tamat tempoh masa yang ditetapkan iaitu 10 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azhar berkata, SPR menjangkakan seramai 70 peratus pengundi akan keluar untuk mengundi 16 November ini.

Katanya peratusan berkenaan dilihat realistik berdasarkan kepada landskap politik negara hari ini.

"Kita yakin peratusan ini mampu dicapai kalau ikutkan landskap politik hari ini.

"Contohnya, kita ada enam calon pada PRK kali ini, oleh itu kita berharap agar pengundi dapat keluar mengundi bagi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka," katanya.