Kerusi keselamatan: Kerajaan ambil kira kekangan ibu bapa

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memperincikan polisi penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dengan mengambil kira rungutan ibu bapa yang menghadapi kekangan mematuhi peraturan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, keselamatan kanak-kanak di jalan raya menjadi keutamaan kerajaan namun memahami keluhan ibu bapa.

"Kita nak keselamatan anak-anak sebab kita pun nak ke (arah) negara tua jadi banyak sangat kemalangan jalan raya melibatkan kematian terutamanya kanak-kanak.

"Jadi ini (kewajipan penggunaan CRS) adalah salah satu langkah cuma kekangan itu memang sentiasa ada dari segi mereka yang tidak mampu...kita tengok cara lain seperti ambil pengangkutan awam atau yang kita fikirkan (selamat)," katanya kepada media selepas merasmikan Bulan Keluarga Kebangsaan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan ibu bapa seperti anak ramai, harga CRS yang mahal dan kereta kecil.

Bulan lalu, Dr Wan Azizah mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: