Laporan Jho Low di UAE dongeng: KPN

Jho Low dan Abdul Hamid
Jho Low dan Abdul Hamid
A
A
A

JERANTUT - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan laporan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, 38, yang dipercayai menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai berita tidak benar.

Menurutnya, laporan itu satu pembohongan kerana tidak logik seorang yang menjadi buruan seluruh dunia boleh keluar dari tempat persembunyiannya dan pergi ke UAE.

"Ini satu dongeng, saya tak tahu siapa sumbernya. Kalau ada, saya nak berjumpa dengannya.

"Mari datang ke pejabat, saya sediakan nasi lemak, mari berbual dengan saya dari mana dapat cerita penjenayah buruan banyak negara boleh terbang ke UAE seolah-olah negara itu tiada sistem sedangkan negara yang berbangga dengan Dubainya, dengan Abu Dhabinya, sistem kawalan lapangan terbangnya, seorang penjenayah boleh terlepas begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas laporan sebuah portal berita semalam menyatakan ahli perniagaan itu menetap di negara terbabit walaupun memperoleh suaka dari negara lain.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang 2019 di Dewan Kuliah Utama Pusat Latihan Tinggi Teknologi (Adtec) Jerantut di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Yusri Hassan Basri.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid menyematkan Pingat Jasa Pahlawan Negara dalam majlis istiadat di Adtec, Jerantut hari ini.
Abdul Hamid menyematkan Pingat Jasa Pahlawan Negara dalam majlis istiadat di Adtec, Jerantut hari ini.

Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dengan pihak risikan dan polis di UAE sambil menjelaskan bahawa beliau tahu keberadaan individu terbabit yang ketika ini 'dilindungi secara rasmi' oleh pihak tertentu.

"Kalau dia kata dirinya bukan penjenayah, sila balik ke sini, datang dan saya akan berikan jaminan dia mendapat layanan sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang. Saya bukan Gestapo, diktator yang boleh menjalankan tindakan sesuka hati," katanya.

Beliau turut memberitahu, ramai peguam terkenal dan mahir yang boleh membela dan mempersoalkan tindakan Jho Low termasuk ahli keluarganya yang bersembunyi melarikan diri.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut berjanji akan berusaha membawa balik ahli perniagaan tersebut sekurang-kurangnya pada hujung tahun ini.

"Saya sedang berunding lagi secara rasmi, separa rasmi (dengan) pelbagai pihak.

"Jika saya gagal, saya akan mengaku dan memberikan apa alasan kegagalan tetapi bukan sebab kurang berusaha. Ini adalah jenayah di abad ini dan jadi bagaimana pula pihak PDRM boleh pandang enteng perkara ini," tegasnya.

Sebahagian penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara yang hadir dalam majlis tersebut.
Sebahagian penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara yang hadir dalam majlis tersebut.