Gangguan bekalan air di KL, Gombak beransur pulih

Abdul Raof
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air melibatkan 119,630 akaun pelanggan berdaftar di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur sejak jam 9 malam tadi beransur pulih dan mencapai tahap 96 peratus sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, sebanyak 24 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

Ia termasuk Bandar Sri Permaisuri, Desa Pandan, Flat Sri Melaka, Jalan Jelawat, Kampung Pandan, Kampung Pandan Dalam, Kampung Pandan Luar, Lorong Delapan, Kampung Pandan; Pandan Cahaya, Pandan Indah dan Pandan Utama,

Kawasan lain yang belum pulih termasuk di Perumahan Sommerset Close, Taman Bakti, Taman Cahaya, Taman Cempaka, Taman Dagang,Taman Ikhsan, Taman Ikan Emas, Taman Kobena, Taman Miharja, Taman Nirvana, Taman Putra Sulaiman, Taman Shamelin dan Taman Tenaga.

“Gangguan bekalan ini berlaku berikutan pelaksanaan kerja kecemasan penggantian injap (sluice valve) di Kolam Air Kepong Estate yang mengalami kebocoran serius sebelum ini.

“Setakat ini hanya bekalan air di Wilayah Gombak pulih sepenuhnya manakala pemulihan bagi Wilayah Kuala Lumpur proses pemulihan mencapai tahap 86 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mempercepatkan proses pemulihan dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan.

Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh berhubung dengan Pusat Perhubungan Pelanggan ditalian 15300 atau dapatkan maklumat terkini di aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com.

“Pelanggan juga boleh menghantar pesanan bagi kes kecemasan dan kritikal melalui WhatsApp ke talian 0192816793 atau 0192800919,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 120 kawasan di wilayah Gombak dan 57 kawasan di wilayah Kuala Lumpur melibatkan 119,630 akaun pelanggan berdaftar terjejas dengan gangguan bekalan air sementara selama 23 jam bermula malam tadi.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja penggantian injap berkenaan adalah kritikal dan perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan insiden di luar jangkaan yang boleh menjejaskan bekalan air kepada pelanggan.